KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi membidas tindakan Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak cadangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan gabungan PN dengan Pakatan Harapan (PH).
“Keluar dari Istana Negara semalam, Muhyiddin tegas mengatakan PN tolak PH untuk tubuh kerajaan perpaduan. Dia sign, tetapi tetap tulis Tidak bersetuju,
“Muhyiddin jelas tidak hormat Yang di-Pertuan Agong. Muhyiddin dakwa sudah hantar 115 Akuan Sumpah Berkanun (SD) ahli Parlimen yang sokong dia jadi Perdana Menteri,” katanya dalam siri hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.
Menurut Puad, tindakan Muhyiddin seolah-olah menyalahkan Istana Negara bahawa 115 SD yang dihantar adalah tidak lengkap.
“Kalau berani, dedahkanlah nama 115 ahli parlimen tersebut. Mana tahu ada nama dari Barisan Nasional (BN),
“Kalau tidak berani, jangan setakat Istana, rakyat pun tidak percaya. Apa yang terserlah semalam ialah Muhyiddin berwatak angkuh dan pendendam,
“Layakkah dia jadi PM semula. Ustaz Hadi disebelahnya hanya mengangguk. Itulah PAS,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Puad turut menyatakan bekas ahli parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai hipokrit kerana menuduh Anwar telah menguasai UMNO kerana terdapat ura-ura BN akan menyertai PH.
“Dia lupa sejarah UMNO duduk dalam kerajaan Muhyiddin. Tidakkah Muhyiddin menguasai UMNO. Dia lantik Menteri UMNO tanpa peduli hierarki UMNO. Annuar jadi Menteri juga,
“Annuar patuh cakap Muhyiddin daripada cakap parti. Dia pertahankan keputusan Muhyiddin isytihar darurat dan gantung Parlimen. Mujur Agong batalkan darurat,” jelas Puad.
Beliau mendakwa Annuar berkomplot menentang keputusan Perhimpunan Agong sebagai cubaan untuk halang parti keluar dari kerajaan PN.
“Dia (Annuar) mahu Muhyiddin kekal jadi PM. Dia juga cuba halang Parlimen bubar awal sebelum pemilihan parti. Senanglah beliau dan kumpulannya menang pemilihan parti ketika mereka masih menjadi Menteri,
“Naratif mereka sekarang ialah “No Anwar No Dap”. Padahal tular video Annuar yang kata, apa salahnya bekerjasama dengan DAP. Dia juga mempertahankan “MOU dengan DAP” bila Ismail Sabri jadi PM,
“Apakah itu bukan bersekongkol dengan DAP? DAP dapat peruntukan sama banyak dengan MP BN. Bahkan dia kata MOU itu tidak ada had masa. Kalau batalkan MOU itu, BN boleh disaman. Begitu sekali dia suka DAP,
“Tambah hipokrit, bila Annuar mendesak pemimpin parti jangan tembak kaki sendiri. Tetapi sekarang setiap hari dia tembak kaki sendiri. Ini semua kempen pemilihan parti,
“Dia salahkan Presiden. Apa kurangnya dia,” kata Puad yang menyatakan Annuar adalah punca kekalahan BN semasa Pilihanraya Umum ke-15.
“Tidak patuh keputusan parti adalah kesalahan besar. Annuar kena nafi, betulkah di malam terakhir wujud perundingan untuk dia jadi calon PN di Ketereh?” soal beliau.
Dalam PRU-15, BN hanya memenangi 30 daripada 115 yang ditandingi. Pencapaian tersebut disifatkan terburuk dalam sejarah BN yang sebelum ini hanya memperolehi 79 kerusi pada PRU-14.
Annuar Musa telah mengeluarkan siri pendedahan dan juga gesaan selepas keputusan pilihanraya diumumkan. Menurut beliau, kekalahan dialami oleh BN sebagai igauan ngeri menjadi realiti. – airtimes.my