KUALA LUMPUR, 24 Mac – Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan melaporkan Malaysia mencatat satu lagi kematian COVID-19 baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata kes kematian ke-15 ini merupakan kes ke-1,519 iaitu lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun berasal dari Melaka.
“Beliau disyaki mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19 (kes ke-703, yang telah menghadiri perjumpaan tabligh di Masjid Seri Petaling).
“Beliau mempunyai sejarah penyakit kronik dan telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mulai 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5.35 pagi, 24 Mac 2020,” katanya.