KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini menawarkan diri untuk menyaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kehilangan Pulau Batu Puteh.
Tawaran itu dibuat, susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendesak agar tindakan undang-undang diambil ke atas ‘pengkhianatan’ yang menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh selama-lamanya.
“Siapakah pengkhianat itu? Walaupun tidak sebut nama, semua tahu Tun Mahathir adalah individu yang bertanggungjawab,
“Kita tidak lagi boleh berbuat apa apa. Tempoh merayu sudah tamat. Sebagai pengajaran kekal, Tun Mahathir mesti disaman dan bayar ganti rugi. RM3 bilion paling sesuai. Baru padan,
“Justeru, saya tawar diri untuk saman Tun M. Ini soal maruah kerana dia jual kedaulatan Johor dan negara,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.
Menurut Puad, ramai tidak tahu pada 2 Febuari 2017 bekas Peguam Negara, Apandi Ali hantar surat ke ICJ The Hague mohon semakan kehakiman Pulau Batu Puteh. ICJ tetapkan 11 Jun 2018 tarikh pendengaran.
“Tetapi pada 14 Mei 2018 (4 hari selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah) Apandi Ali dipaksa bercuti (force leave) dan tempat beliau dipangku oleh Peguamcara Negara (Solicitor General),
“Pada 28 Mei 2018 (18 hari Tun M jadi PM) Peguamcara Negara hantar surat kepada ICJ tarik balik permohonan semakan kehakiman. Ia tarikh hitam negara,
“Ia dirahsiakan. Rakyat hanya tahu bila tempoh merayu tamat. Rupanya Tun M telah batalkan permohonan semakan kehakiman. Apakah Kabinet tahu. Apa muslihat Tun M?,” soal Puad.
Katanya, terkini Tun M tetap angkuh kerana enggan menghadiri siasatan Pasukan Petugas Khas Pulau Batu Puteh.
“Dia pengkhianat dan penjenayah. Tubuh segera RCI Pulau Batu Puteh,” tegas Puad. – airtimes.my