KUALA LUMPUR, 5 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan menyimpan telefon bimbit tersebut adalah bagi proses analisis forensik digital.
“Ia merupakan sebahagian daripada proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan,
“Peranti berkenaan akan dipulangkan kelak setelah proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl Sani dalam satu kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, PDRM telah memanggil dan merakam percakapan Rafizi pada 3 September bagi membantu siasatan setelah laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
“Bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran yang disiasat, telah diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, pihaknya juga sedang menyiasat laporan yang dibuat terhadap Dr Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya telah dijalankan.
“Proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa oleh pihak tertentu,
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada polis untuk menyiapkan kertas siasatan,” tegasnya. – airtimes.my