KUALA LUMPUR, 17 OKT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan keputusan untuk membawa pulang anggota pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) adalah bergantung kepada UNIFIL.
Menurut beliau, rancangan dan prosedur untuk membawa pulang sememangnya ada sekiranya keadaan di selatan Lubnan meruncing tetapi ia perlu melalui pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Tetapi keputusannya semua mestilah dibuat oleh UNIFIL,” kata Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menegaskan MALBATT 850-11 yang kini di selatan Lubnan adalah di bawah struktur pemerintahan pihak PBB melalui UNIFIL.
“Semua operasi dan pergerakan adalah di bawah tanggungjawab UNIFIL,
“Mereka (UNIFIL) akan buat keputusan. Sama ada kita undur tidak, bergantung kepada keputusan UNIFIL dan juga persetujuan bersama dari 50 negara-negara yang terlibat,” jelas Khaled Nordin.
Beliau menegaskan keputusan untuk mengundurkan anggota MALBATT 850-11 bukan boleh dibuat secara unilateral dan bersendirian.
Dalam pada itu, Khaled Nordin turut menyatakan Kementerian Luar Indonesia menegaskan mereka (Indonesia) akan terus bersama menjayakan misi pengaman UNIFIL. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #MALBATT