NEW DELHI, 15 JUL – Seperti yang dijangka, India telah memilih untuk memperolehi 26 buah Rafale M bagi kegunaan tentera laut negara itu.
Perkara tersebut disahkan oleh Pejabat Menteri Pertahanan India melalui ciapan di akaun Twitter rasmi mereka.
Menurutnya, Suruhanjaya Perolehan Pertahanan (Defense Acquisition Council , DAC) telah meluluskan perolehan pesawat keluaran Dassault itu selepas satu mesyuarat diadakan pada Jumaat.
“Harga dan beberapa perkara lain berkaitan pembelian pesawat akan dibangkitkan dalam rundingan dengan kerajaan Perancis,
“Ia (rundingan) akan dilakukan selepas semua perkara berkaitan termasuk pembandingan harga telah dilakukan,” katanya dalam satu hantaran.
Selain daripada itu, India turut mempertimbangkan integrasi komponen peralatan pertahanan yang dikeluarkan oleh negara itu pada Rafale M. Ini termasuklah menubuhkan pusat MRO sebagai sebahagian daripada kontrak selepas rundingan New Delhi-Paris selesai.
Pemilihan Rafale M oleh India sekaligus menutup episod persaingan F/A-18 Super Hornet Block III di negara itu.
Pada ketika ini, Presiden India, Narendra Modi berada di Perancis bagi melaksanakan lawatan rasmi beliau ke negara Eropah itu selama 2 hari.
Air Times sebelum ini melaporkan kemungkinan pemilihan Rafale M sebagai pesawat tempur Tentera Laut India.
Negara kuasa besar Asia Selatan itu sebelum ini melaksanakan ujian pemilihan antara Rafale M dan F/A-18E/F Super Hornet Block III bagi kegunaan skuadron pesawat tempur INS VIKRANT.
Pemilihan ini turut menandakan tempoh pengeluaran Super Hornet oleh Boeing akan ditamatkan pada 2025 berbanding 2027, sekiranya syarikat itu gagal mendapatkan pelanggan antarabangsa.
Selain daripada itu, India juga dilihat mula beralih daripada penggunaan jet pejuang keluaran Rusia.
Tentera Laut India pada ketika ini masih mengoperasikan MiG-29K dalam angkatan laut mereka.
Pun begitu, krisis perang di Ukraine dan sekatan global dilihat sebagai faktor penghalang kepada New Delhi untuk mengekalkan tahap kesiagaan pesawat mereka yang majoritinya dari Rusia. – airtimes.my