BANGI, 27 Jan – Seramai 254 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat ke-39 bagi Zon Tengah 1 ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dengan pangkat Leftenan Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, hari ini.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kesemua Pegawai Kadet ini terdiri dari UKM; Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Pada majlis ini, Leftenan Muda Muhammad Amirul Farhan Abdul Razak dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UKM dan Leftenan Muda Shafiq Faizullah Shaharuddin dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UM.
Turut dianugerahkan dalam majlis tersebut, Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UiTM kepada Leftenan Muda Nor Emyzan Mohd Yusak; Leftenan Muda Wan Muhd Syafiq Safri Wan Ismail (UIAM), Letfenan Muda Afif Mohd Nasir (USIM); Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UMP dianugerahkan kepada Leftenan Muda Mohd Nazir Harris.
Zamrose dalam ucapannya berharap Pegawai Muda ini dapat memanfaatkan segala ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang 3 tahun latihan PALAPES serta mempunyai semangat juang yang tinggi dalam menempuh setiap cabaran dalam kerjaya masing-masing kelak.
Beliau turut memberi saranan supaya Pegawai Muda yang baru ditauliahkan agar melunaskan tanggungjawab masing-masing dengan melapor diri ke siri 500 Askar Wataniah.
“Kesemua mereka perlu terus terlibat aktif di dalam latihan-latihan ketenteraan Askar Wataniah agar pengetahuan yang telah diperolehi boleh terus dikembangkan,
“Selain itu, Pegawai Muda yang baru ditauliahkan turut berpeluang untuk memohon Skim Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ataupun menyertai Pasukan Kerahan sebelum diterima masuk untuk diserapkan ke dalam Angkatan Tetap,” katanya. – airtimes.my