KUALA LUMPUR, 6 Dis – PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan kononnya dana Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS amat kesal dengan dakwaan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
“Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada,
“Sekiranya gagal, PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Bercakap ketika sidang media pada Isnin, Anwar berkata, Kementerian Kewangan juga mendapati pelanggaran dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender. -airtimes.my