KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Angka serangan siber terutamanya melibatkan penggodaman dan pencerobohan sesawang (defacement) meningkat untuk tempoh 2020 hingga 2022.
Menurut pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), ia berdasarkan aduan yang diterima oleh CyberSecurity Malaysia (CSM).
“Pada tahun 2020, sebanyak 2,589 aduan telah diterima oleh KKD, diikuti dengan 3,653 aduan bagi tahun 2021 dan 3,667 aduan bagi tahun 2022,
“Bagi tahun 2023 pula, sehingga 31 Mei 2023, sebanyak 1,399 aduan telah diterima,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara baru-baru ini.
Jelasnya, jumlah aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CSM adalah tidak termasuk tidak termasuk jumlah kes-kes penggodaman yang diterima oleh agensi-agensi lain. Ini memandangkan penggodaman adalah di bawah bidang kuasa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambah KKD, walaupun penggodaman tidak secara khusus berada di bawah bidang kuasa pihak SKMM, Pusat Keselamatan Rangkaian agensi itu berperanan untuk menyusuli tindakan serta penyelarasan teknikal bagi menangani insiden keselamatan rangkaian yang dikesan.
Ini termasuklah yang dilaporkan oleh agensi awam dan swasta, termasuk orang awam.
Jelasnya, kesemua insiden yang diadukan akan disusuli dengan pelbagai tindakan merangkumi sekatan di peringkat rangkaian penyedia perkhidmatan Internet domestik, penurunan atau pengalihan kandungan di peringkat hos, penyahaktifan dan menyenarai hitam alamat elektronik serta nama domain.
“Lain-lain langkah teknikal diambil bagi menyekat serta menghentikan penularan insiden berkenaan, serta bagi melindungi orang awam daripada terjejas atau menjadi mangsa,” ujarnya dalam jawapan kepada soalan bertulis oleh Senator Dato’ Jefridin Atan.
Dalam pada itu, KKD menegaskan pihak SKMM telah melaksanakan inisiatif untuk mengenal pasti ancaman, risiko dan langkah kawalan perlu di ambil dalam pelaksanaan serta keselamatan rangkaian teknologi 5G.
“SKMM telah melaksanakan inisiatif melalui pendekatan berasaskan risiko, (risk-based approach) bersama-sama dengan pihak pemberi perkhidmatan dalam mengenal pasti ancaman dan risiko yang ada serta langkah-langkah kawalan yang perlu diambil,” katanya. – airtimes.my