KOTA KINABALU, 24 Feb – Polis percaya kumpulan lelaki bersenjata, yang menyerang sebuah bot nelayan di Segama, Kinabatangan baru-baru ini, bukan anggota kumpulan militan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain berkata kumpulan itu dipercayai cuba melakukan penculikan atau samun, namun gagal apabila lima nelayan yang berada di dalam bot itu berjaya menyelamatkan diri.
“Siasatan mendapati kumpulan bersenjata ini berasal dari Filipina berdasarkan tempat kejadian berhampiran sempadan negara dengan Filipina,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Razarudin berkata polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti kumpulan terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Khamis lepas, lima nelayan diserang kumpulan itu yang, antaranya, membawa senjata laras panjang.
Ketika kejadian, bot nelayan itu dihampiri bot suspek yang mengarahkan bot nelayan terbabit untuk berhenti, namun juragan bot nelayan berkenaan bertindak untuk memecut bot itu ke arah Sandakan, manakala bot suspek mengejar bot mangsa sambil melepaskan tembakan.
Siasatan polis menemui kesan tembakan pada bot nelayan itu, manakala juragan dan empat krunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
-BERNAMA