HULU LANGAT, 2 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) membantu Jabatan Kerja Raya Malaysia menyiapkan pembinaan jambatan sementara di Kampung Jawa, Sungai Lui, yang terjejas kerana jambatan asal runtuh akibat banjir baru-baru ini.
Jambatan Compact Bailey 200 yang merupakan aset jambatan yang dibekalkan oleh Pasukan Jabatan Bailey JKR Petaling sepanjang 18.24m dan lebar 7.35m dengan modular 6 bay ini akan memberi manfaat kepada 12 keluarga yang menetap di kampung berkenaan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, Operasi Murni melalui Program Bantuan Pasca Banjir ATM di bawah Markas Briged Keempat Infantri Malaysia (4 Div) telah diaturgerakkan bagi membantu JKR dalam menyiapkan jambatan sementara ini.
“4 Div telah mengaturgerakkan anggota Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) melalui Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) telah berkolaborasi dengan JKR Daerah Hulu Langat dan Daerah Petaling dalam kerja-kerja pemasangan jambatan ini,
“Kerja-kerja pembersihan kawasan tapak pembinaan jambatan bagi membantu 15 tenaga kerja daripada Tim Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) JKR Petaling telah bermula pada 29 Dis 21 lalu manakala pelaksanaan pembinaan jambatan telah dimulakan pada 1 Jan 22,
“Bantuan ATM melibatkan seorang pegawai dan 11 anggota 2 Skn RAJD yang dipimpin oleh Leftenan Nur Filzah Ismail,” jelas Markas ATM.
Tambahnya, turut terlibat dalam khidmat nasihat teknikal pemasangan jambatan ini adalah Jurutera Daerah Petaling, Ir Rozainol Effendi Md Janah, Jurutera Daerah Hulu Langat Ir Zulfaizal Mat Zin dan Pegawai Pemerintah 2 Skn RAJD, Mej Khaironnisa Asmar.-airtimes.my