KUALA LUMPUR, 30 Dis – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ambil serius tindakan kerajaan menafikan hak Dong Jiao Zong (Dong Zong) membatalkan persidangan mereka melalui injuksi mahkamah.
Dalam satu kenyataan pada hari ini, SUHAKAM menyuarakan kebimbangannya terhadap ancaman yang diterima pihak Dong Zong kerana hak kebebasan berhimpun dan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
SUHAKAM percaya bahawa persidangan Dong Zong, termasuk tunjuk perasaan oleh penentang-penentang Dong Zong sepatutnya dibenarkan untuk diteruskan.
“Pihak berkuasa perlu memastikan kedua-dua kumpulan dapat menjalankan sepenuhnya aktiviti mereka dengan selamat bagi memenuhi hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang amat penting bagi merealisasikan sebuah demokrasi yang bebas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.
SUHAKAM turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap ancaman keganasan yang menjurus kepada kebencian, rusuhan serta mengancam kedaulatan undang-undang di Malaysia, jelas kenyataan itu lagi.
Sabtu lalu, persidangan membantah tulisan jawi yang sepatutnya diadakan oleh Dong Zong terpaksa dibatalkan selepas polis menerima injuksi dari mahkamah.
Arahan pembatalan itu berikutan kebimbangan pihak polis sekiranya berlaku keadaan yang mengganggu ketenteraman awam.