CHUPING, 21 Jun – Pasukan Respon Team, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup daun ketum, pada Jumaat.
IPD Padang Besar dalam hantaran media sosialnya berkata, penahanan dibuat apabila pasukannya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Menurut fakta kes, selain daripada rampasan daun-daun hijau disyaki ketum sebanyak 15 guni yang dianggarkan seberat 570kg,
“Turut ditemui, satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis methampitamine atau syabu, dianggarkan seberat 0.38gram,” kata hantaran itu hari ini.
Menurut hantaran sama, kes disiasat dibawah Sek. 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan juga Sek. 30(3) Akta Racun 1952.
“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah narkotik di talian hotline IPD Padang Besar 04-9491481 yang beroperasi 24 jam dan identiti anda akan dirahsiakan,” ujar hantaran itu. – airtimes.my