PUTRAJAYA, 30 Okt – Seorang bekas pegawai polis akan meringkuk di penjara selama 12 bulan selepas rayuan terakhirnya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara itu bagi kesalahan mencabul tiga remaja lelaki dalam sebuah tandas enam tahun lepas, ditolak Mahkamah Rayuan.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, yang mempengerusikan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan berkata sabitan terhadap bekas asisten superintendan Cheah Sang Hee, bagi kesalahan mencabul ketiga-tiga remaja berkenaan dengan melondehkan seluar mereka dan meramas kemaluan mereka, adalah kukuh dan selamat.
Beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Sang Hee bagi setiap daripada pertuduhan itu, yang diperintah berjalan serentak.
Hakim Ahmadi mengeluarkan waran komital terhadap Sang Hee, 48, untuk menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Sang Hee sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya diputuskan.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim.
Dalam keputusan lisannya, Hakim Ahmadi berkata keterangan diberikan dua mangsa menunjukkan tertuduh telah masuk ke dalam tandas, oleh itu percanggahan keterangan diberikan tukang cuci adalah tidak kukuh untuk mengetepikan sabitan itu.
Sang Hee didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Klang atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan itu ke atas tiga remaja lelaki itu yang ketika itu berumur 15 dan 16 tahun, di atas lantai tandas di sebuah kedai serbaneka di Klang, Selangor, pada 7 Sept, 2012.
Dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak.
Tertuduh gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan sabitannya, tetapi berjaya mengurangkan tempoh hukuman penjara kepada 12 bulan bagi setiap pertuduhan yang juga berjalan serentak.
Sang Hee kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Sang Hee berhujah anak guamnya patut dibebaskan kerana terdapat tiga percanggahan dalam keterangan di mahkamah dan kenyataan diberikan kepada polis oleh tukang cuci warga Nepal, yang merupakan saksi pihak pembelaan.
Beliau berkata sabitan Sang Hee adalah tidak selamat kerana Mahkamah Majistret tidak membuat keputusan bagi prosiding pendakwaan.
Hisyam memberitahu pemberita, anak guamnya mengarahkannya untuk memfailkan semakan terhadap keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Patricia Tan.- BERNAMA