KUALA LUMPUR, 8 Mac – Malaysia dan Singapura kekal mengukuhkan lagi hubungan terutama antara angkatan tentera laut yang sudah lama terjalin diantara kedua-dua negara.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi satu hantaran di media sosialnya memaklumkan, perkara itu dizahirkan dengan lawatan sulung Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob ke Singapura yang bermula pada 5 Mac lalu.
Munurut pihak TLDM, Abdul Rahman telah melawat Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dengan dimulai kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera Singapura Lieutenant General Melvyn Ong.
Kemudian, beliau bertemu rakan sejawat Rear Admiral Aaron Beng.
“Ketibaan Laksamana Datuk Abdul Rahman telah disambut oleh Rear Admiral Beng dan diberi penghormatan untuk memeriksa kawalan kehormatan utama,
“Lawatan diteruskan dengan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen di pejabat beliau,
“Semasa pertemuan itu, Dr Ng dan Abdul Rahman mengesahkan kepentingan mengekalkan hubungan erat antara Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan TLDM serta membincangkan kerjasama pertahanan mengenai cabaran bersama di rantau ini,” jelas pihak TLDM.
Tambah hantaran itu, Abdul Rahman turut berkesempatan membuat lawatan Changi Naval Base dan disambut Panglima Armada Singapura, Colonel Kwan Hon Chuong pada Isnin.
“Delegasi seterusnya dibawa melawat kapal frigat RSS Tenacious dan fasiliti latihan Tentera Laut Republik Singapura,
“Lawatan ini dilihat dapat mengukuhkan lagi hubungan erat antara kedua-dua angkatan laut yang sudah terjalin sekian lama,” ujarnya lagi. -airtimes.my