KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Bersempena Hari Pahlawan 2021, Celcom Axiata Berhad telah mengambil inisiatif dengan memberi sumbangan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meringankan beban yang ditanggung anggota serta keluarga.
Sumbangan yang bernilai keseluruhan sebanyak RM 100 ribu ini merangkumi penyedia pek makanan, peranti penumpu oksigen dan peranti pembelajaran kepada anak-anak anggota tentera.
Bantuan sumbangan telah di sampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi (Teknologi), Celcom Axiata Bhd, Afizulazha Abdullah kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Wisma Pertahanan hari ini.
“Kami berbesar hati diberi peluang untuk menyatakan penghargaan kami kepada anggota yang merupakan benteng pertahanan negara,” Afizulazha dalam ucapan Majlis Serahan Sumbangan Program Khidmat Masyarakat Bersama ATM oleh Celcom Axiata Berhad.
Menurut beliau, pandemik COVID-19 yang melanda negara pada hari ini turut memberikan kesan kepada anggota tentera serta keluarga.
“Kami berharap sumbangan yang diberikan oleh kami dapat meringankan beban anggota tentera dan keluarga yang terkesan dengan wabak ini,” ujarnya.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera menyatakan sumbangan sebegini merupakan satu bentuk penghargaan oleh rakan strategik dan masyarakat kepada pengorbanan anggota keselamatan.
“Dengan adanya tanda penghargaan sebegini, ianya amat bermakna kepada kita semua,
“Ia menunjukkan bahawa ATM adalah satu angkatan yang sedia menyumbangkan tenaga dan segala usaha mereka untuk mempertahankan negara,” kata Affendi.
Menurut beliau, ATM sentiasa fokus dan komited untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara tanpa mengira masa.
Antara bantuan sumbangan yang dihulurkan adalah berbentuk pek makanan yang dikhususkan untuk anggota lain-lain pangkat (Golongan B40) di beberapa lokasi di seluruh negara.
Lapan peranti penumpu oksigen yang disumbangkan oleh Celcom Axiata Berhad akan digunakan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebagai salah satu usaha dalam memulihkan pesakit yang dijangkiti COVID-19.
Pada masa yang sama, sumbangan berbentuk peranti juga diberikan bagi membantu anak-anak anggota menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdR) secara atas talian.
Peranti tersebut diperolehi melalui program MyBaikHati yang dijalankan oleh Celcom Axiata Berhad.
Syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Berhad merupakan rakan strategik ATM yang memberikan perkhidmatan komunikasi kepada anggota tentera, keluarga dan veteran. – airtimes.my