COLOMBO, 23 April – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) dan Tentera Laut Sri Lanka (SLN) tamatkan latihan ketenteraan bersama lebih awal berikutan keadaan keselamatan semasa negara pulau itu.
Latihan ketenteraan Cooperation Afloat Readiness and Training (Eks CARAT) yang berlangsung di Pelabuhan Hamantota yang terletak 250 kilometer tenggara Colombo bermula pada 19 April lalu.
Keputusan untuk menamatkan latihan tersebut secara bersama antara US Navy dan SLN.
“US Navy dan SLN bersetuju untuk menamatkan Eks CARAT lebih awal berikutan siri serangan bom di Sri Lanka,” kata pihak US Navy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurut pihak US Navy, kesemua anggota mereka yang terlibat dalam latihan tersebut adalah selamat dari sebarang kesan serangan yang berlaku pada pagi Ahad lalu.
“Kami akan terus menyokong rakan kami di Sri Lanka dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” jelas US Navy.
Dalam latihan di Sri Lanka, pihak US Navy telah menghantar sebuah kapal pembinasa kelas Arleigh-Burke, USS Spruance; kapal pengangkut USNS Millinocket dan sebuah pesawat rondaan maritim (MPA) P-8 Poseidon.
US Navy kini sedang melaksanakan jelajah latihan di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Siri Eks CARAT kini memasuki siri ke-25 dan pertama kali diadakan pada tahun 1995.