KUALA LUMPUR, 17 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk menghangatkan suhu kaum atau agama di negara ini.
“Sekiranya terdapat perkara yang melampau dan menganggu gugat ketenteraman awam, pihak keselamatan tidak akan teragak-agak akan mengenakan tindakan tegas,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan, pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, pihaknya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk lebih berwaspada terhadap individu yang terdesak atau tercabar kerajaan.
“Individu tersebut akan menggunakan sentimen ini untuk menimbulkan kekacauan. Rakyat yang miskin pun mungkin diupah untuk melaksanakan apa juga kekacauan yang diarahkan oleh pihak yang berkepentingan,
“Kita harus tegaskan bahawa keamanan dan kedamaian semua kaum harus dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap mana-mana usaha yang akan menggangu gugat keselamatan negara,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa barisan Jemaah Menteri dalam Kabinet sebulat suara dalam hal ini untuk memastikan bahawa prinsip Perlembagaan Negara dipertahankan dan mengekang usaha individu yang cuba menggugat keselamatan negara.
“Sekiranya terdapat isu yang berbangkit, pelanggaran dan sensitiviti kaum harus dileraikan dengan segera melalui perundingan,
“Supaya tidak ada salah sangka dan prasangka seperti yang dibangkitkan isu baru-baru ini iaitu isu kunjungan ke masjid yang tidak harus melibatkan kerajaan sama sekali,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa kerajaan tetap teguh pertahankan prinsip Perlembagaan Negara. Jika ada isu berbangkit, harus diselesaikan dengan baik bagi mengelakkan perseteruan.
“Walaupun ada singungan, fitnah dan serangan kepada Kerajaan Perpaduan, kami tetap tidak akan bertolak ansur dengan usaha yang boleh menggugat keselamatan negara,
“Pihak keselamatan akan melakukan tindakan tegas sekiranya terdapat perkara yang menganggu gugat ketenteraman awam,” tegasnya.-airtimes.my