LANGKAWI, 14 Mei – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Eksesais Mencari dan Menyelamat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (SAREX LIMA’23) pada 9 hingga 12 Mei lalu.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM memaklumkan, SAREX LIMA’23 yang diadakan di di sekitar Pulau Langkawi ini adalah sebagai persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan ketika LIMA’23 sedang berlangsung untuk memberikan gambaran kepada semua pihak berhubung prosedur operasi standard (SOP) serta tindakan segera efektif dan efisien.
Menurut TUDM, latihan ini adalah kerjasama antara TUDM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang bertindak sebagai penganjur bersama.
“Melalui SAREX, eksesais ini bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menangani sebarang kemungkinan kemalangan udara, maritim serta darat sepanjang LIMA’23,
“Eksesais ini memfokuskan 5 objektif utama iaitu menguji keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi semasa proses mencari dan menyelamat (SAR) serta memastikan keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi pelan kecemasan lapangan terbang,
“Selain itu, langkah ini juga mengenal pasti kebolehgunaan dan keserasian pelbagai arahan pentadbiran serta prosedur tetap yang digunakan semasa situasi kecemasan; memperkasa tindakan pihak berkuasa tempatan dan keberkesanan bantuan sokongan serta mengukuhkan keberkesanan sokongan logistik untuk misi SAR dan memperkasa konsep Joint Rescue Sub Center (JRSC),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, TUDM memaklumkan, pelaksanaan SAREX LIMA’23 melibatkan 2 peringkat iaitu air atau Water SAREX dan darat atau Land SAREX.
Katanya, Water SAREX dilaksanakan di kawasan perairan berhampiran Resort World Langkawi manakala Land SAREX diadakan sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
“SAREX LIMA’23 melibatkan anggaran 1,000 peserta yang turut melibatkan lebih kurang 33 daripada pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan pameran LIMA’23 yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini berjalan dengan lancar,” jelas kenyataan itu lagi. -airtimes.my