[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=agAmJIo5874[/embedyt]
Darurat 2021 kini telah meniti usia 2 minggu, masih timbul isu serta usaha untuk mencabar langkah yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada 17 Januari lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan barisan peguam telah dipersiapkan untuk mencabar langkah pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, media tempatan turut melaporkan bahawa beliau telah menyeru kepada rakan-rakan Ahli Parlimen lain untuk merayu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik perkenan Proklamasi Darurat.
Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudiannya menjelaskan langkah untuk mencabar di mahkamah adalah menyentuh isu persidangan Parlimen yang telah digantung.
Usaha ini kemudiannya disambut oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang bersedia untuk mencelah tindakan Anwar Ibrahim di Mahkamah.
Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Setiausaha Akhbar UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menghantar surat kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional untuk memberi persetujuan mengadakan sidang parlimen dalam tempoh yang segera.
Salinan surat yang diutuskan oleh Ahmad Maslan kemudiannya tular di media sosial. Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz kemudiannya menegaskan surat oleh Setiausaha Akhbar UMNO itu adalah benar dan menyatakan pendirian parti.
Akan tetapi, hasrat wakil rakyat Pontian itu kemudiannya tidak tercapai kerana 35 Ahli Parlimen BN telah menolak usul tersebut berbanding 7 menyokong.
Dalam wawancara eksklusif kami bersama Buzze Azam, beliau ada menjelaskan bahawa Proklamasi Darurat tidak boleh dicabar di Mahkamah.
Menurut beliau, semua pihak perlu merujuk kembali kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Kata kunci dalam isu ini adalah puas hati. Fasal 1 Perkara 150 menyatakan ‘apabila Baginda berpuas hati,” katanya.
Beliau sebelum ini menyatakan bahawa Darurat yang diisytiharkan pada tahun 2021 adalah termaktub Fasal 1 Perkara 150.
Fasal tersebut menjelaskan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa terdapat ancaman yang sedang berlaku terhadap salah satu atau kesemua perkara iaitu keselamatan negara, ketenteraman awam, dan ketenteraman awam dalam negara.
“Perkara 150 Fasal 8(a) menyatakan isu puas hati oleh Agong tidak boleh dicabar atau dipersoal di dalam mana-mana mahkamah atas apa jua alasan,” jelasnya.
Petikan Fasal 8 (a) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:
“Hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan;”
Tegas Buzze Azam, perkara ini sudah cukup jelas bahawa Proklamasi Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak bileh dicabar di mana-mana Mahkamah.
“Walaupun undang-undang ini adalah dalam Perlembagaan, akan ada pihak cuba mencabar Proklamasi Darurat,
“Mereka boleh membawa perkara ini ke Mahkamah namun bergantung kepada pihak pengadilan untuk memutuskan bahawa cabaran itu akan didengar atau tidak,
“Biar Mahkamah tentukan sama ada cabaran tersebut termasuk dalam Perkara 150 Fasal 8(a) atau tidak,” jelasnya.
Degil Ahli Politik adalah jenaka semasa COVID-19
Tegas Buzze Azam, tindakan menghantar memorandum dan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Darurat adalah sifat degil pada seorang ahli politik.
“Memang salah satu sifat mereka adalah degil. Ahli polituk boleh meneruskan sikap sebegitu kerana itu adalah hak mereka untuk berdegil,
“Namun begitu, adalah jelas dan nyata dari sudut Perlembagaan bahawa keputusan Agong tidak boleh dicabar di Mahkamah atas apa jua alasan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, ahli politik perlu sedar sekiranya mahkamah tidak boleh menjadi medan untuk mencabar Darurat, siapa mereka untuk mempersoalkan keputusan Agong.
Buzze Azam turut menyatakan mungkin tindak-tanduk ahli politik untuk mencabar Darurat merupakan satu hiburan kepada rakyat Malaysia ketika menghadapi ‘lockdown’ akibat COVID-19.
“Kalau mahkamah pin tidak boleh menjadi medan untuk membincangkan perkara ini, siapakah Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdiskuis tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong?
“Mungkin tindak-tanduk ahli-ahli politik yang degil ini boleh dianggap sebagai hiburan untuk kita di kala lockdown ini,” seloroh Buzze Azam. – airtimes.my
Ikuti siri ketiga wawancara eksklusif bersama Buzze Azam pada hari Khamis di portal Air Times News Network.