YEHUD, 11 Jul – Sebuah badan bukan keuntungan Israel, SpaceIL merancang untuk mendaratkan kapal angkasa tanpa pemandu di bulan, pada Februari depan dalam pendaratan pertama seumpamanya sejak 2013.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata, kapal angkasa yang mempunyai bentuk seperti meja bulat dengan empat kaki fiber karbon itu dijangka berlepas pada Disember depan dari tapak pelancaran Cape Canaveral, Florida menggunakan roket SpaceX Falcon 9.
Matlamat pelancaran kapal angkasa itu adalah untuk menghantar beberapa gambar dan video kembali ke bumi selama dua hari, selepas ia mendarat pada 13 Februari dan mengukur medan elektromagnetik.
“Kapal angkasa kami adalah yang paling kecil didaratkan pada bulan,” kata Anteby.
Sejak 1966, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet sudah meletakkan 12 kapal angkasa tanpa pemandu di bulan dengan menggunakan kuasa brek untuk melakukan pendaratan secara perlahan dan China turut melakukannya pada 2013.
SpaceIL ditubuhkan pada 2011 oleh sekumpulan jurutera dengan bajet kira-kira AS$90 juta (RM362.70 juta) dan mereka terpaksa mengurangkan saiz dan kemampuan operasi untuk pelancaran lebih efisyen.
Kapal angkasa itu dipamerkan di syarikat kontraktor kerajaan, Israel Aerospace Industries, semalam. Ia mempunyai tinggi 1.5 meter dan berat 585 kilogram dengan berat bahan bakar mewakili dua per tiga berat keseluruhannya.
Kapal angkasa itu akan dilancarkan selepas mencapai paras ketinggian 60,000 kilometer dari Bumi, ia kemudian akan mengorbit Bumi dan selepas dua bulan, ia akan masuk ke orbit bulan. Kemudian, ia akan diperlahankan dan melakukan pendaratan secara perlahan tanpa menyebabkan kerosakan.
Sebahagian besar dana SpaceIL ditaja penderma persendirian termasuk hartawan kasino Amerika Syarikat (AS), Sheldon Adelson dan billionaire dan pengasas bersama Amdocs iaitu salah satu syarikat teknologi terbesar Israel, Morris Kahn. – Reuters