KUALA LUMPUR, 13 Mac – Persoalan pelaksanaan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran tentera tidak berpencen akan dijawab di Parlimen, hari ini.
Perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas semasa sesi Soal Jawab Lisan Dewan Rakyat.
“Minta Menteri Pertahanan menyatakan sejauh mana pelaksanaan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran-veteran ATM yang tidak berpencen khususnya kategori B40,” soal Islahuddin yang tersenarai sebagai Soalan No 6 Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Isu kebajikan veteran tentera antara perkara seringkali dibangkitkan dalam Parlimen semenjak ia bersidang 13 Februari lalu.
Dalam Perbahasan Penggulungan Belanjawan 2023 Kementerian Pertahanan pada 8 Mac lalu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan menegaskan isu kebajikan veteran adalah antara fokus pihaknya pada ketika ini.
Pada masa yang sama, beliau telah menyatakan pihak Kementerian Pertahanan telah mencadangkan “supaya penambahan jumlah bilangan bantuan sara hidup kepada veteran ini baik berpencen atau tak berpencen.”
“Daripada sembilan ribu orang penerima bantuan RM300 sebulan ini akan kita tambah lagi bilangannya kepada 15 ribu,
“Akan tetapi ini kebanyakannya ialah mereka yang berumur 80 tahun ke atas dahulu dan juga mereka yang layak, “ katanya.
Menurut Menteri Pertahanan, pihak beliau sedang berusaha untuk melakukan beberapa perkara bagi memastikan kebajikan veteran terbela ketika sedang berusaha menyelesaikan isu pencen.
“Kita akan buat perkara-perkara sampingan yang di dalam boleh kita lakukan di bawah PERHEBAT, di bawah kementerian dan belanjanya pun tidaklah sebesar mana yang kita perlukan jumlah yang besar daripada pihak Kerajaan Pusat,
“Itu yang sedang kami lakukan dan isu ini memang menjadi fokus kami,” kata Tok Mat semasa menjawab pencelahan oleh wakil rakyat Ketereh, Mejar Jeneral Dato’ Khlir Mohd Nor (Bersara). – airtimes.my