KUALA LUMPUR, 10 Jun – Sebarang usaha untuk mencari penyelesaian terhadap konflik yang begitu rumit di selatan Thailand perlu melibatkan penyertaan sayap tentera Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Seorang penganalisis berpengalaman konflik itu, Dr Srimsompob Jitpiromsiri dari Prince of Songkla University (PSU) Pattani berkata penyertaan kumpulan terbesar dan paling lengkap bersenjata di wilayah itu adalah amat penting.
“Dialog damai tidak akan berjaya tanpa penyertaan (sayap tentera) BRN,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Katanya dialog damai sekarang, yang diatur oleh Malaysia, mesti mencari jalan bagi penyertaan sayap tentera BRN, termasuk menerusi kerjasama antarabangsa, tetapi beliau tidak menjelas lanjut.
Jika tidak, usaha untuk mewujudkan perdamaian di empat wilayah selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sukar dicapai, kata Srisompob yang mengendali sebuah badan pemantau bukan kerajaan (NGO), Deep South Watch (DSW).
DSW berpangkalan di PSU, telah sekian lama memantau dan menganalisis konflik berkenaan yang telah mengorbankan kira-kira 7,000 nyawa, kebanyakan orang awam sejak ia meletus pada 2004.
Srisompob berkata kira-kira 70 hingga 80 peratus keganasan kumpulan bersenjata di wilayah itu dilakukan oleh anggota sayap tentera BRN – yang menunjukkan keupayaan ketenteraan kumpulan itu, dengan demikian pentingya penyertaan mereka dalam rundingan damai.
Sayap tentera ini beroperasi secara berselindung, selalunya dalam kumpulan kecil penyerang dipanggil “Ronda Kumpulan Kecil” (RKK), yang menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti struktur koman dan kawalan termasuk pucuk pimpinannya.
Ketika ini, proses damai antara Mara Patani (Majlis Syura Patani) dan kerajaan Thai tidak memasukkan penyertaan sayap tentera BRN, yang memulaukan rundingan, sekalipun beberapa usaha dibuat bagi menarik penyertaan mereka.
Namun, BRN masih terus diwakili oleh Mara Patani tetapi wakil mereka datang dari sayap politik yang menurut pemerhati konflik, tidak punya banyak pengaruh ke atas sayap tentera kumpulan itu dan tindak lakunya di lapangan.
Tanpa penyertaan sayap tentera ini, peranan dan keberkesanan Mara Patani dalam dialog damai sekarang turut dipersoalkan oleh pemerhati.
Selain sayap politik BRN, terdapat beberapa kumpulan kecil dalam Mara Patani.
Srisompob juga mendedahkan bahawa Thailand cuba “menghubungi” secara langsung sayap tentera BRN tetapi tidak berhasil.
Malaysia, yang melantik bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor selakiu fasilitator baharu proses damai, juga gagal menarik penyertaan sayap tentera itu.
Sumber memberitahu Bernama bahawa usaha untuk mendapatkan penyertaan sayap tentera BRN atau elemen “tegar” kumpulan itu dalam proses damai sekarang masih berjalan – Bernama