LUMUT, 30 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pelanggaran bot tempur semasa Hari Terbuka Armada (HTA2022) semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat memaklumkan, insiden tersebut berlaku ketika sebuah bot tempur TLDM yang hilang kawalan dan terlanggar KD LAKSAMANA TAN PUSMAH sewaktu melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut.
“Insiden kira-kira 11.30 pagi tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan,
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun jelas TLDM, insiden tersebut tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara yang telah ditetapkan.
Terdahulu media melaporkan, orang ramai berpeluang melihat lebih dekat kapal-kapal perang TLDM sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut.
Sambutan HTA22 berlangsung bermula semalam sehingga esok itu menyediakan pelbagai aktiviti bertujuan memberi pendedahan dan pendekatan warga Navy People dengan masyarakat setempat. -airtimes.my