KUALA LINGGI, 14 Jul – Hasrat 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia memasuki Malaysia secara haram gagal, apabila ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Tuan, Melaka, pada awal pagi Rabu.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua PATI ditahan pada jam 11.40 malam di kedudukan 2.9 batu nautika ketika pihaknya sedang melaksanakan rondaan operasi.
“Maklumat pengesanan bot dari perairan Indonesia menuju ke perairan Tanjung Tuan yang diterima dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) telah disalurkan kepada aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan operasi,
“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran tersebut mendapati terdapat 5 lelaki termasuk tekong warganegara Indonesia berusia 21 hingga 46 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, kesemua PATI dan bot ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – airtimes.my