SELANGOR, 17 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya menyatakan pandangan tentang pendirian Baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun ‘Bon Odori’ yang akan diadakan di Selangor.
Dato Lela Bakti Setiausaha Sulit Kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan berkata, Baginda berpandagan festival tradisional rakyat Jepun itu hanya berunsurkan kebudayaan semata-mata.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir seperti dilaporkan media dengan memetik ‘Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori’.
“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak tepat sama sekali dan tidak sebenarnya berlaku ketika Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Ahmad Yunus Hairi menghadap Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,
“Baginda hanya menyatakan tentang pendirian Baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Negeri Selangor yang pada pandangan Baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata,
“Baginda juga tidak menghalang mana mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan sama ada ianya berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam,” jelasnya.
Semalam, media melaporkan, Ahmad Yunus telah dipanggil menghadap Sultan Selangor bagi membincangkan perkara berkaitan festival itu.
Roslan Shahir berkata, mereka dihubungi pihak istana semalam memandangkan Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, 16 Julai ini.
“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada Baginda bahawa kami menghormati pendirian Baginda,
“Kami memberitahu Tuanku pendirian kami dan yang paling penting, kami memberitahu baginda bahawa kami menyokong peranan istana dalam menyatukan rakyat. Kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya menurut laporan New Straits Times.
Tambahnya, pendirian PAS sama seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai perayaan itu.-airtimes.my