ABU DHABI, 12 Okt – Rakyat Malaysia yang bermastautin di Abu Dhabi amat teruja apabila Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi menganjur Hari Sukan Negara 2018 bertempat di Zayed Sports City di sini hari ini.
Acara yang bermula pada jam 8.30 malam (waktu Abu Dhabi) itu didahului dengan ucapan aluan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, TYT Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian rakyat Malaysia meluangkan masa menjayakan aktiviti tahunan di peringkat kedutaan. Selain itu, beliau turut mengalu-alukan lebih penyertaan dalam pelbagai acara dan program anjuran kedutaan di masa akan datang.
Aktiviti yang dirancangkan pihak kedutaan dimulakan dengan acara rengangan, sebelum ke acara utama iaitu bola sepak bagi lelaki dan bola jaring bagi wanita. Aktiviti turut diserikan dengan penyertaan kanak-kanak dalam acara sukaneka.
Kira-kira seramai 150 rakyat Malaysia hadir bersama keluarga meluangkan masa menyertai acara yang cukup menyeronokkan dan menyihatkan sekali gus mengeratkan silaturahim di kalangan rakyat Malaysia yang bermastautin di sini. Acara diakhiri pada jam 10.30 malam dan rata-rata hadirin memberikan reaksi positif dan berharap aktiviti seumpama ini diteruskan dari masa ke semasa.