Tempoh yang dijanjikan untuk menghantar helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk bagi kegunaan Tentera Darat secara sewaan telah pun berakhir.
Sehingga akhir Oktober, 4 buah helikopter Black Hawk tidak diterima, malah tiada sebarang kenyataan mengenainya daripada pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sekiranya Mindef berpegang kepada ketegasan yang telah disuarakan, kontrak membekalkan pesawat ini dibatalkan.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MINDEF dijangka membatalkan perjanjian kerana pembekalnya gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran.
Keputusan akan dibuat jika kontraktor terlepas tarikh akhir penghantaran 30 Oktober itu tetapi penyelesaian alternatif sedang dipertimbangkan untuk Tentera Darat.
Sepertimana yang dijelaskan MINDEF sebelum ini, sewaan helikopter itu sebagai langkah sementara di bawah tempoh pajakan lima tahun dan bukannya untuk pemerolehan tetap.
Pembatalan kontrak sewaan ini bermakna tempoh untuk mendapatkan helikopter pengganti kepada Black Hawk ini bakal memakan masa yang panjang.
Sangat hampa apabila setelah hampir setahun menunggu helikopter Black Hawk sewaan, akhirnya perancangan yang dihasratkan tidak kesampaian. Setahun tempoh masa telah dibazirkan
Apatah lagi pengumuman tentang keputusan mendapatkan helikopter Black Hawk sewaan ini dibuat semasa hari ulang tahun Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ke-28.
Pada Mac tahun depan, PUTD bakal memasuki usia 30 tahun dan jika nasib tidak menyebelahi, cadangan memiliki helikopter pengangkut taktikal saiz sederhana menggantikan Nuri ini terus kelam.
Andaian ini mengambil kira daripada proses mencari pesawat pengganti, mengumumkan calon helikopter, menawarkan kontrak sehinggalah proses hendak menerima pesawat yang pastinya tidak berlaku dalam masa sebulan dua.
Jika sekali pun syarikat atau kontraktor yang terpilih untuk membekalkan helikopter pengganti secara sewaan, ia juga memerlukan proses tertentu.
Proses ini seperti mengesahkan keadaan pesawat, pendaftaran, jenis warna pada pesawat, manakala aspek terpenting ialah latihan penyesuaian kepada juruterbang dan kru.
Dalam proses mendapatkan helikopter Black Hawk sewaan misalnya, PUTD telah menghantar juruterbang dan kru menjalani latihan di Turkiye pada Disember tahun lalu.
Seramai tiga orang juruterbang PUTD bersama seorang dari syarikat Aerotree telah melaksanakan ‘Ground School’ dan Latihan Simulator Sikorsky UH-60A Black Hawk di Ankara.
Latihan ini adalah sebagai persediaan kepada juruterbang Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD dalam persiapan menerima pesawat berkenaan.
Justeru, mendapatkan helikopter pengganti ini tidak semudah memetik jari sebenarnya.
Perkara yang menjadi persoalan ialah apakah jenis helikopter yang akan dipilih setelah sewaan Black Hawk dibatalkan?
Apa yang difahamkan Tentera Darat sebelum ini menginginkan Black Hawk kerana menepati dengan kehendak dan operasi yang dilaksanakan.
Helikopter Black Hawk terkenal dengan kepelbagaian fungsi dalam kedua-dua misi pertempuran dan sokongan udara.
Black Hawk juga merupakan helikopter saiz sederhana yang paling banyak digunakan di dunia.
VIDEO SPESIFIKASI 3 VARIAN BLACK HAWK – SUMBER: PZL MIELEC
Tambahan pula, Tentera Darat khususnya Briged Para cenderung melakukan latihan bersama dengan tentera negara sahabat yang mengoperasikan helikopter Black Hawk.
Sepertimana ditegaskan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, pihaknya terbuka untuk menerima sebarang pilihan berkait perolehan helikopter baharu.
Bagaimanapun tegas beliau, pilihan untuk helikopter seharusnya mengikut kriteria yang sudah ditetapkan.
Helikopter itu juga mestilah mempunyai spesifikasi ketenteraan dan mematuhi Keperluan Kakitangan Am tentera dan boleh dihantar dalam tempoh singkat.
Adakah Mindef atau Tentera Darat masih lagi berminat kepada Black Hawk atau mencari calon lain? – airtimes.my
#TenteraDarat #Helikopter #BlackHawk