KUALA LUMPUR, 29 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan tiada sebarang kebocoran dan ketirisan data di pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau dalam satu kenyataan berkata, ATM sentiasa menitikberatkan kerahsiaan semua data samada yang berada di dalam rangkaian tertutup atau terbuka.
“ATM memandang serius isu kebocoran data sepertimana yang dilaporkan kerana ianya boleh mengundang kebimbangan masyarakat awam,
“Ini sekaligus memberi kesan terhadap keutuhan sistem pemantauan serta keselamatan data ATM,” katanya.
Semalam, seorang pengguna forum di luar negara mendakwa memiliki data 4 juta data peribadi rakyat Malaysia. Beliau menjual kesemua data rakyat Malaysia yang lahir pada tahun 1979 hingga 1998 dengan harga 0.2 BTC (Bitcoin), kira-kira RM35,495.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din mengesahkan, pihaknya telah terima satu laporan daripada JPN berhubung dakwaan berlaku kebocoran data peribadi dalam data kerajaan.
Beliau berkata, laporan dibuat Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya pada Selasa.
“Siasatan dilakukan polis di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,
“Siasatan itu bagi menyiasat sama ada berlaku atau tidak pengodaman sistem JPN atau sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),
“Kita akan jalankan siasatan dan kita nak sahkan di mana kebocoran itu berlaku,” jelasnya. -airtimes.my