BINTULU, 16 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mematahkan cubaan menyuludup rokok dan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM45,250 di sekitar pantai Semalaju, Ahad lalu.
Pengarah APMM Zon Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, rampasan tersebut adalah hasil makluman awam dan risikan serta rondaan yang dilakukan di sekitar kawasan pantai Samalaju bagi mengesan aktiviti penyeludupan barangan bercukai.
Susulan itu, beliau menjelaskan, anggota pasukannya telah mengesan dan merampas 15 peti rokok putih pelbagai jenama dan 95 karton minuman keras.
“Rampasan tersebut dilakukan pada kira-kira pukul 8 malam semalam, setelah pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas barangan tersebut,
“Semasa dikesan, 5 suspek sedang melakukan aktiviti pemunggahan barangan tersebut namun berjaya meloloskan diri dengan menggunakan 2 buah kenderaan jenis pacuan 4 roda yang gagal dikesan nombor pendaftarannya,
“Ini kerana cuaca dan keadaan laut yang bergelora menyukarkan pasukan APMM untuk merapat ke pantai dengan cepat dan melakukan tangkapan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Khairol Anuar menjelaskan, barangan tersebut telah dibawa ke pejabat APMM Zon Bintulu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti penyeludupan. -airtimes.my