KUALA LUMPUR, 16 Jul – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) menandatangani perjanjian damai antara gabungan selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu menyatakan komitmen mereka bagi merundingkan perjanjian damai pasca PRN.
“Sudah tiba masanya untuk satu lagi perjanjian antara parti seperti Memorandum Persefahaman (MOU) untuk Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada September 2021, yang membolehkan kestabilan politik selama 13 bulan,
“MOU itu telah meluluskan undang-undang antilompat parti dan beberapa langkah reformasi parlimen,
“Hal ini untuk memastikan pengundi, bukan sahaja di 6 negeri tersebut malah rakyat yang lainnya, pelabur domestik dan asing, bahawa Malaysia akan memberi fokus kepada pemulihan semula ekonomi dengan menafikan desas-desus perubahan kerajaan di pertengahan penggal yang menyebabkan keraguan terhadap kestabilan politik dan keyakinan pasaran,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu, kumpulan tersebut berkata, kerajaan dan pembangkang boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat Yang Dipertua Dewan Negara dan bekas menteri undang-undang, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan speaker Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul untuk pembinaan kepercayaan antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, Parlimen boleh dan perlu memainkan peranan utama bagi perdamaian politik yang mampan sehingga 2027 yang memerlukan pemerkasaan Ahli Parlimen Pembangkang dan Backbencher Kerajaan sebagai pertukaran dengan janji Pembangkang untuk tidak berkomplot menjatuhkan kerajaan.
“Penghormatan terhadap keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan mesti berjalan seiring dengan padang yang sama rata yang membolehkan pembangkang bersaing secara konstruktif dan profesional,
“Hanya selepas itu, kerajaan dan pembangkang boleh bersaing dalam dasar dan tadbir urus, dan tidak memainkan politik identiti seperti kaum, agama dan raja (3R),” tambah kenyataan itu lagi.
Kumpulan itu turut mencadangkan perjanjian damai untuk menggabungkan 10 pengaturan politik dan reformasi institusi.
“Antaranya ialah Akta Parlimen penggal tetap bagi Parlimen ke-15 untuk bertempoh penuh sehingga 18 Dis 2027,
“Peruntukan dan proses untuk mekanisme keyakinan parlimen, pindaan kepada Peraturan Mesyuarat bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk memperkasakan penyokong kerajaan dan menjamin pengawasan parlimen yang berkesan serta pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan parlimen lebih bebas,
“Pembaharuan lain yang dicadangkan termasuk pengiktirafan kabinet bayangan pembangkang dengan peruntukan yang mencukupi kepada menteri bayangan, akta pembiayaan pembangunan kawasan pilihan raya yang saksama untuk memastikan layanan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira gabungan parti serta akta pembiayaan politik, reformasi Jabatan Peguam Negara dan SPRM untuk menghapuskan kawalan politik perdana menteri dan reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, BERSIH berharap kerajaan dan PN akan menyambut baik gesaan ini sebahagiannya untuk mengatasi kelesuan politik dan sikap tidak ambil peduli yang terdapat di kalangan ramai pengundi dan berkemungkinan mengakibatkan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah dalam PRN. -airtimes.my