PORT DICKSON, 14 Sept – Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Port Dickson, Ramli Awang hari ini memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak turun berkempen di kawasan itu.
Ramli mendakwa pihaknya tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.
“Kami mengalu-alukan Ketua Umum PKR (Anwar) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak lama lagi, namun Rafizi dan Abdullah Sani tidak perlu datang berkempen di sini.
“Kami tiada masalah dengan PKR tetapi amat terkesan dengan dua individu ini yang kerap membuat tuduhan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar secara tidak bermaruah.
“Oleh itu, kehadiran kedua-dua mereka hanya akan memburukkan keadaan kerana sebahagian ahli BERSATU sudah terguris hati dengan tuduhan terhadap pemimpin kami selama ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
“Tapi Abdullah tidak dialu-alukan turun ke Port Dickson selagi dia belum minta maaf dengan ahli Bersatu,” katanya.
Pengosongan kerusi Port Dickson diumumkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, kelmarin, bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.
Mengulas lanjut, Ramli bagaimanapun memberi jaminan, pihaknya akan membantu kempen PKR untuk memastikan kemenangan Anwar.
“Pada dasarnya, sebagai parti komponen PH, kami akan membantu PKR untuk mengekalkan kerusi itu yang dimenangi sejak tiga penggal lalu,” katanya.