PUTRAJAYA, 29 Julai – Kerajaan hari ini bersetuju untuk memanjangkan moratorium pinjaman bank untuk individu yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan itu akan berlangsung selama tiga bulan tetapi hanya bagi mereka yang hilang pekerjaan pada tahun ini dan mereka yang masih belum mendapat pekerjaan baharu.
Manakala selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.
“Saya mendengar rintihan berkenaan moratorium bayaran pinjaman yang bakal berakhir pada 30 September ini. Saya juga tahu ramai yang berharap agar moratorium ini dilanjutkan,
“Oleh itu, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan,
“Jadi, pada hari ini saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam Pengumuman Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Muhyiddin menambah, kerajaan juga bersetuju untuk mengurangkan bayaran ansuran bulanan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman kepada individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19.
“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji,
“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” jelasnya.-airtimes.my