KUALA LUMPUR, 4 Apr – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan, cadangan agar bersara daripada perjuangan kerana usia, wajib ditolak sekalipun yang mengatakannya daripada pemikir dan ilmuan.
Beliau berkata, perkara itu harus ditolak walaupun ianya dari seorang ahli falsafah dan profesor kerana ilmu tidak berpandukan hidayah.
“Ukuran mereka itu hanyalah faktor umur, bukan faktor mukallaf,” katanya menerusi Minda Presiden PAS yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Abdul Hadi menambah, dengan mengambil Rasullah sebagai contoh, para rasul berdakwah dan berpolitik sepanjang hayat sehingga ajal.
“Mereka tidak bersara melaksanakan tugas tersebut disebabkan faktor usia, kerana mahu mengisi usia di alam dunia seberapa banyak yang mungkin, dan mereka mempunyai wawasan akhirat yang kekal abadi,
“Oleh itu, teori supaya bersara daripada perjuangan kerana usia adalah semata-mata teori Barat sekular yang tidak beragama dan tidak berwawasan akhirat,
“Ia bukan daripada ajaran Islam yang berwawasan akhirat,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata, hadis juga telah menjelaskan betapa besar perjuangan untuk menegakkan kebenaran menentang pihak yang salah secara berterusan.
Maka, nasihat supaya bersara daripada perjuangan menegakkan perintah Allah adalah perbuatan yang salah dan bercanggah dengan ketetapan dalam Islam. -airtimes.my