[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=DzsAGwW28uc[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 30 OKT – Penyedia Kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN) Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali Ratu Naga menyifatkan laporan polis ke atas sebagai palsu dan fitnah.
Ratu Naga berkata, dakwaan beliau berkongsi semula tangkap layar dari akaun media sosial Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk memfitnah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah adalah tidak berasas serta cuba untuk memburukkan namanya.
“Laporan dibuat ke atas saya adalah laporan palsu kerana saya tidak edit atau membuat apa-apa komen pun pada gambar berkenaan,
“Kita print screen (tangkap layar) benda (gambar) itu seadanya, kita tak ada edit atau apa seperti yang dituduh. Boleh tengok di hantaran Instagram Netanyahu, gambar itu memang gambar disitu,
“Mereka buat laporan polis ke atas orang yang salah. Saya akan buat laporan ke atas laporan palsu yang dibuat ke atas saya,” katanya ketika ditemui selepas selesai dirakam percakapan, hari ini.
Terdahulu, Ratu Naga dirakam percakapan hampir 3 jam selepas hadir bersama peguam di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Ratu Naga turut mempersoalkan adakah aktiviti berkongi semula (repost) dianggap satu kesalahan dan jenayah di Malaysia.
“Seolah-olah apabila kita ‘repost’ semula satu hantaran dianggap apa yang jadi pada hari ini,
“Saya disiasat untuk apa? Saya pun masih tidak paham,” ujarnya lagi.
Tambah Ratu Naga, hantaran itu bukan hanya dikongsi semula olehnya malah ramai individu lain berbuat demikian sebelum hantaran itu tular.
“Memang ramai ‘repost’, sebelum saya buat pun ada juga sudah ‘repost’. Saya ‘repost’ tidak bagi apa-apa komen, hantaran saya kosong sahaja,” jelasnya lagi.
Rakam dua keterangan
Sementara itu, peguam Ratu Naga, Zaid Malek mengesahkan anak guamnya bukan disiasat dengan 1 kes sahaja, bahkan turut dirakam keterangan berkaitan satu lagi kes iaitu perhimpunan aman mengenai solidariti rakyat Palestin pada 25 Oktober lalu.
Jelasnya, bagi siasatan pertama, Syarul Ema disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Sekysen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Manakala bagi siasatan kedua, Syarul Ema pula disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Awam.
“Kedua-dua kes ini melibatkan pelanggaran siasatan berkenaan perkara yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun dan berekspresi,
“Tiada masalah mengeluarkan apa-apa kritikan, komen berkenaan tindakan mana-mana Menteri, ahli politik mahupun orang terlibat,
“Begitu juga dengan perhimpunan aman protes untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin,
“Ia tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10, iaitu satu-satu hak mana-mana rakyat Malaysia untuk menyertai mana-mana protes aman,” katanya lagi.
Menurutnya, selain perlu menjawab lebih kurang 33 soalan, polis turut merampas telefon pintar milik Ratu Naga bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.
Sebelum ini Ratu Naga menerusi satu hantaran di Instagram berkongsi satu video mengandungi tangkap layar memaparkan akaun media sosial Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Video berkenaan memaparkan gambar isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu. -airtimes.my