WASHINGTON, 12 JAN – Serangan yang dilancarkan terhadap beberapa lokasi di Yaman adalah untuk mengurangkan ancaman puak Houthi di Laut Merah.
Perkara tersebut ditegaskan oleh kerajaan dari 10 buah negara berhubung serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, hari ini.
Kenyataan bersama itu menegaskan serangan yang dilancarkan adalah mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tambahnya, serangan terhadap Yaman adalah “sebagai tindak balas kepada tindakan berterusan yang merbahaya dan menggugat kestabilan oleh Houthi di Laut Merah”.
“Serangan yang dilakukan secara tepat ini bertujuan untuk mengganggu dan mengurangkan keupayaan Houthi dari terus mengancam perdagangan antarabangsa,
“Ini sekaligus melindungi nyawa pelaut yang berlayar di laluan perdagangan kritikal dunia,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat, Australia, Bahrain, Belanda, Denmark, Jerman, Kanada, New Zealand, Korea Selatan dan United Kingdom pada hari ini.
Jelasnya, Houthi telah melancarkan lebih daripada 24 serangan terhadap kapal komersial semenjak pertengahan November 2023 dan menjadikan ia sebagai satu cabaran di peringkat antarabangsa.
“Tindakan yang diambil pada hari ini membuktikan komitmen bersama dalam kebebasan belayar, perdagangan antarabangsa, dan melindungi nyawa pelaut dari serangan yang tidak wajar,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, matlamat utama dalam tindakan terhadap Houthi adalah untuk mengembalikan kestabilan di Laut Merah.
“Mesej kami adalah jelas: kami tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan nyawa dan melindungi kelancaran perdagangan antarabangsa yang kritikal sekiranya ia diancam,” jelas kenyataan bersama itu.
Houthi sebelum ini memberi amaran untuk mengesan, menjejak dan menawan mana-mana kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel. Menurut jurucakap Houthi, Yahya Saree, ia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Palestin terutamanya di Gaza.
Pada Disember lalu, Yahya menyatakan pihaknya akan menyerang mana-mana kapal yang berlayar menuju ke Israel tanpa mengira negara. Jurucakap Houthi itu turut memberi amaran kepada mana-mana syarikat perkapalan yang berurusan dengan pelabuhan Israel.
Pihak Houthi turut mengesahkan mereka telah melancarkan 25 serangan terhadap kapal-kapal yang berlayar di Laut Merah untuk tempoh 19 November 2023 hingga 10 Januari 2024.
Ancaman keselamatan di Laut Merah telah menyebabkan beberapa syarikat perkapalan antarabangsa untuk menukar laluan pelayaran mereka ke Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di Afrika Selatan.
Houthi telah menggunakan misil anti kapal dan juga dron terhadap mana-mana kapal perdagangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan Israel. Selain itu, kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) dan sekutu yang hadir di kawasan perairan Laut Merah turut menjadi sasaran.
Pada Selasa lalu, Houthi telah melancarkan serangan dengan menggunakan lebih 20 dron dan peluru berpandu terhadap kapal US Navy serta sekutu. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Yaman #Houthi