KOTA BHARU, 15 Feb – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan PAS akan menggerakkan jentera bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Menurut Ibrahim, pihaknya akan melakukan perkara sama seperti di PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini.
Katanya, jentera parti UMNO dan PAS sudah dibina bersama dan semasa memperkenalkan calon semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan turut hadir.
“Malah, pada hari penamaan calon nanti, pimpinan PAS akan diwakili Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad serta Takiyuddin, katanya.
“Saya dan Presiden, Datuk Seri (Abdul) Hadi Awang tidak dapat hadir kerana mempunyai program lain namun yang pasti kita menyokong serta membantu calon BN memandangkan kita tidak bertanding,” jelasnya.
Semalam, pemimpin UMNO tempatan, Zakaria Hanafi, 58, diumumkan sebagai calon BN yang akan bertanding pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac depan.
Pakatan Harapan (PH) pula mempertaruhkan anak muda yang juga anak jati Semenyih, Muhamad Aiman Zainali sebagai calon..
Katanya, kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Semenyih mendapat sambutan anak muda dan ia adalah tanda perubahan jelas ditunjukkan pengundi.
“(Dengan) Senario itu tidak mustahil BN dapat meraih kemenangan walaupun berdepan cabaran sengit. Kita berharap PRK DUN Semenyih berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau ketika ditemui selepas Majlis Forum Murabbi Ummah di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, lewat malam tadi. Turut hadir Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.