KUALA LUMPUR, 16 Feb – Bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari depan di mana beliau sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari pertama tersebut.
Beliau berkata, fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.
“Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi,
“Manakala fasa Ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Febuari 2022,
“Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan,” katanya ketika berucap semasa melancarkan buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini.
Muhyiddin berkata, program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 sekali gus diharap dapat menamatkan pandemik COVID-19.
“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,
“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Muhyiddin turut melancarkan laman web www.vaksincovid.gov.my untuk membolehkan Buku Panduan Program Imunisasi ini dimuat turun orang ramai.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.