KUALA LUMPUR, 3 Feb – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga boleh menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang yang didakwa berhubung kait dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini susulan keputusan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini yang memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib dan ahli keluarganya secara fizikal memeriksa barang berkenaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata, Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nooryana Najwa perlu diberi peluang untuk memeriksa barang yang dirampas itu.
Hakim berkata, responden (pendakwaan) yang bimbang terhadap aspek keselamatan boleh memastikan pemeriksaan itu dilakukan dalam premis yang dikawal oleh mereka dengan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan.
“Saya tidak mampu mengukur bagaimana pergerakan barang ini boleh menyebabkan kemerosotannya. Keutamaan saya adalah bagi membolehkan pemohon (Najib dan keluarganya) peluang untuk menyuarakan pembelaan mereka dalam hubungan permohonan pelucuthakan responden. – Bernama