KELANTAN, 27 Jun – Seramai 7 pegawai dan 232 anggota di bawah naungan Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) telah melaksanakan Eksesais Pasak Bumi (EPB) Siri 1/2022 pada 20 hingga 24 Jun lalu.
Markas 8 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya berkata, eksesais gabungan bagi anggota Bantuan Tempur dan Bantuan Khidmat yang dianjurkan oleh oleh Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) ini adalah dengan merentasi pelbagai bentuk muka bumi sejauh 25 KM.
“Eksesais Pasak Bumi ini telah bermula di sekitar kawasan am Kuala Krai – Temangan – Machang dan telah berakhir di Kampung Paloh Rawa, Machang,
“Eksesais ini bertujuan untuk meningkatkan kesiagaan serta menguji tahap kecekapan anggota dibawah naungan 8 Bgd di dalam kemahiran pandu arah, disiplin medan dan Ilmu Medan Perang (IMP),
“Aspek command and control juga memainkan peranan penting dalam pelaksanaan eksesais ini,” jelas Markas 8 Bgd.
Acara penutup disempurnakan oleh Panglima 8 Bgd, Brigedier Jeneral Abu Hassan Assha’ari Kamis @ Shaffiee dan diringi oleh Pegawai Pemerintah 8 Komp Angkut KPD, Mejar Mohd Alwi Yunus.
Abu Hassan dalam ucapannya menekankan bahawa tujuan latihan ini dilaksanakan adalah untuk mempertingkatkan kebolehan pengurusan dan perintah pegawai termasuk anggota di dalam mentadbir kompeni, platun serta seksyen.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat di atas kerjasama dan usaha yang dicurahkan bagi menjayakan eksesais ini,
“Eksesais ini sejajar dalam usaha memperkasakan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan,
“Ia juga menyokong corgan kata CALONG dalam Perintah Ulung Panglima 8 Bgd ke-27 iaitu Organisasi Yang Unggul,” ujarnya.
Acara penutup turut dimeriahkan dengan demonstrasi letupan daripada 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD). -airtimes.my