KUALA LUMPUR, 19 Apr – Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM250 turut diberikan kepada veteran dan balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen pada Khamis ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, bantuan membabitkan peruntukan berjumlah RM23 juta itu bakal memberi manfaat kepada 92,013 veteran dan balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen.
bantuan itu bukan saja untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah veteran yang berpencen dan tidak berpencen termasuk balu.
“Mereka bakal menerima wang ini pada 21 April, diharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban veteran yang tidak berpencen untuk meraikan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Bersama Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Turut diadakan sesi dialog bersama 80 persatuan veteran ATM dari seluruh negara bagi mendapatkan input berkaitan permasalahan dan kebajikan golongan berkenaan.
Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, Kementerian Pertahanan sudah menyalurkan bantuan kebajikan kepada veteran ATM sebanyak RM427.03 juta sejak 2020 hingga kini.
Beliau berkata, kerajaan melalui kementeriannya sentiasa berusaha untuk mencari inisiatif baru dalam usaha memperkasakan warga veteran ATM.
“Penambahbaikan dan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup warga veteran ATM sentiasa dilakukan.
“Ketika ini terdapat seramai 207,000 veteran ATM yang berdaftar dengan 121 persatuan.
“Dianggarkan lebih 100,000 veteran lagi tidak berdaftar dan golongan ini diminta berbuat demikian untuk mendapat manfaat yang kerajaan berikan,” ujarnya. -airtimes.my