KLANG, 13 Nov – Keseluruhan ketumbukan anggota Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Bgd) yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh dekat sini bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir di Selangor.
Panglima 11 Bgd, Brigedier Jeneral Fazal Abdul Rahman berkata, setakat ini 2 pegawai dan 18 anggota tentera telah dikerah ke kawasan Meru di sini bagi pemindahan mangsa.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menubuhkan sebuah pangkalan hadapan di Shah Alam untuk memudahkan urusan atur gerak anggota dan aset ke kawasan terjejas.
“Setakat ini aset yang digunakan hanya melibatkan sebuah trak tiga tan untuk memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat bagaimanapun aset-aset yang lain akan digerakkan jika diperlukan,
“Selain itu, 13 bot juga bersedia untuk digunakan jika keadaan banjir semakin teruk dan aset-aset ini akan ditambah mengikut keadaan semasa,” katanya kepada Bernama di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru pada Sabtu.
Turut hadir Panglima Empat Divisyen Mej Jen Datuk Ya’cob Samiran.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Meru mendapati rata-rata mangsa telah pulang ke rumah masing-masing bagi melakukan kerja pembersihan manakala cuaca adalah mendung.
Menurut laman web InfoBencanaJKM, setakat pagi tadi lapan pusat pemindahan sementara telah dibuka di Selangor iaitu empat di Kuala Selangor, tiga di Klang serta satu di Petaling yang menempatkan 890 orang daripada 212 keluarga. – Bernama