KUALA LUMPUR, 7 Jan – PETRONAS hari ini mengumumkan penemuan ketiga telaga gas di luar pesisir Balingian, Sarawak.
Petronas dalam satu kenyataan berkata, penemuan gas dibuat di telaga penerokaan ‘wildcat’ Hadrah-1, terletak di perairan cetek daerah Balingian, kira-kira 170 kilometer dari barat laut luar pesisir Sarawak.
“Telaga Hadrah-1 berjaya digali sehingga kedalaman 1,850 meter pada November 2021 dan menemui gas dalam turutan batu pasir berkualiti tinggi dan takungan karbonat setebal kira-kira 200 meter,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penemuan telah dibuat oleh anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Blok SK411.
PCSB merupakan operator Blok SK411 dengan 90 peratus kepentingan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
10 peratus kepentingan dipegang oleh E&P Malaysia Venture Sdn Bhd.
Dalam kenyataan yang sama, Naib Presiden Penerokaan dan Huluan PETRONAS, Emeliana Rice-Oxley menyatakan penemuan terbaharu tersebut menunjukkan prospek memberangsangkan yang masih belum diterokai sepenuhnya di Balingian.
“Kualiti cemerlang takungan yang ditemui memberi petanda baik terhadap potensi kawasan sekeliling terokaan,
“PCSB dalam kedudukan yang baik untuk melakukan penerokaan di Blocks SK411 and SK306,” katanya. – airtimes.my