KUCHING, 9 Dis – Seramai 3 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan diusir ketika cuba melepasi sempadan negara melalui laluan yang tidak sah oleh anggota pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM), malam tadi.
TDM dalam hantaran di laman sosialnya berkata, pengusiran tersebut dibuat oleh anggota pasukan yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) di bawah pemerintahan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (Mk 1 Div).
“Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.20 malam, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan di lorong-lorong tikus sekitar Sektor Kandaie telah berjaya mengesan dan menahan 3 orang PATI yang sedang berusaha untuk masuk ke Sarawak,
“Setelah ditahan dan diperiksa, mereka yang berasal dari Semunying ingin ke Lundu untuk bekerja,
“Kesemua mereka diusir keluar dari Malaysia setelah laporan Polis dibuat di Balai Polis Lundu,” katanya.
Menurutnya, cubaan memasuki Sarawak secara haram dan kegiatan jenayah rentas sempadan berjaya dibanteras melalui peningkatan pelaksanaan Op Benteng terutama di sempadan negara.
“Jenayah rentas sempadan dikala pandemik ini berjaya dihalang serta dibanteras hasil daripada kawalan sempadan yang ketat dan tindakan pantas pasukan-pasukan keselamatan melalui inisiatif Op Benteng terutama pasukan TDM di bawah Pemerintahan Markas 1 Divisyen,
“TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” ujarnya. – airtimes.my