IPOH, 8 Sept – Warga emas yang ditahan berdiri atas kereta peronda polis sambil mengayunkan parang serta sabit panjang dalam kejadian di hadapan Balai Polis Gopeng, didapati positif dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 61 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.
Menurutnya, semakan yang dilakukan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai 16 rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.
Mior dalam kenyataan berkata, lelaki tempatan itu menunggang motosikal sambil membawa sebilah parang dan sabit panjang memasuki kawasan Balai Polis Gopeng kira-kira jam 8 pagi.
“Suspek kemudian bertindak melibaskan parang dan sabit yang dibawanya di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai berkenaan sebelum pegawai yang melihat kejadian itu cuba menenangkan suspek serta mendapatkan bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,
“Suspek keluar dari kawasan balai menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun berjaya disekat oleh pihak polis di hadapan pagar balai dengan menempatkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebagai penghalang kepada orang awam melalui jalan tersebut,
“Suspek kemudian meluru ke arah kereta peronda itu sebelum memanjat dan berdiri di atasnya sambil melibatkan parang serta sabit bagi mengelakkan dirinya didekati pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mior, pihak bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 dan bertindak menyemburkan air ke arah mangsa sebelum dia berjaya diberkas.
“Suspek kemudian terjatuh atas jalan sebelum proses tangkapan dilakukan. Dalam proses itu dia mengalami sedikit kecederaan,
“Semakan lanjut mendapati suspek telah mengamuk serta merampas motosikal orang awam di Pasar Awam Lawan Kuda kemudian memujuk ke kawasan perumahan Kopisan sebelum ke balai polis,
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan kita juga merampas sebilah parang, sabit, sebuah motosikal serta serangkai kunci dalam kejadian tersebut,”ujarnya.
Dalam masa yang sama, Mior menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam masyarakat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis 1967; Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dirakam orang awam di sekitar lokasi kejadian.
Berdasarkan rakaman tersebut, lelaki yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar jeans itu dilihat berdiri di atas bumbung kereta peronda polis sambil menjerit dan menghayun parang dan sabit. –airtimes.my