[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ik1gEtClKbo[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyatakan isu belanjawan pertahanan bukan sahaja bergantung kepada keadaan ekonomi semasa negara semata-mata.
“Saya faham kekangan kerajaan dalam pertamanya, landskap ekonomi global. Ini bukannya hanya berkisar kepada kedudukan kita,
“Banyak negara di luar terpaksa berhadapan dengan keadaan cukup tertekan dari segi ekonomi,” katanya semasa sidang media di Kementerian Pertahanan.
Pada masa yang sama, beliau berharap Kementerian Kewangan Malaysia memahami isu keselamatan dan pertahanan merupakan satu perkara yang tidak boleh di nilai dengan wang ringgit.
“Kadangkala hujah mereka kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bahawa kita tak bawak pulangan kepada ekonomi negara – jumlah peruntukan kepada MINDEF besar tetapi kita tidak membantu prestasi ekonomi negara kita,” ujarnya.
Tambah Hishammuddin, pihaknya telah membawakan beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh pihak MINDEF melalui sesi libat urus untuk Bajet 2023.
“Saya telah bawa cadangan-cadangan kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan telah pun terdapat beberapa libat urus dengan mereka untuk bajet kali ini,
“Saya berharap ia dapat diterima dengan baik,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Kementerian Pertahanan akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara bagi membuktikan pulangan MINDEF bukan terhad kepada keselamatan negara.
“Dibawah dasar baru ini yang beri tumpuan nak merancakkan sektor perindustrian pertahanan kita,
“Kita akan buktikan bahawa pulangan kepada negara kita bukan sahaja dari segi pertahanan keselamatan sahaja,” ujar beliau.
Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.
Dalam Bajet 2022, Kementerian Pertahanan Malaysia telah diberikan peruntukan sebanyak RM 16.144 bilion. Angka ini merupakan sedikit lonjakan berbanding RM 15.86 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2021. – airtimes.my