KUALA LUMPUR, 24 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan, malah mencalar imej negara.
Beliau berkata, perkara itu mengakibatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang kita capai pada tahun 1998.
“Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023 yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Tambah Anwar, Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion ringgit meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.
“Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah,” jelasnya lagi.
Selain itu, Anwar turut menjelaskan, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu.
“Inilah bukti pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara. Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara ini beranjak ke 6 hadapan dengan gagah dan gemilang,
“Kita yang menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara, dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan,” tegasnya. -airtimes.my