KOTA KINABALU, 25 Sept – Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), BADIK selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), pagi tadi.
Markas Pemerintahan Armada Timur menerusi media sosialnya berkata, ketibaan kapal tersebut disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta barisan kepimpinan tertinggi.
“LMS ketiga milik TLDM, BADIK selamat tiba di PTKK setelah menempuhi 7 hari pelayaran dari Qidong, China ke Kota Kinabalu,
“Ketibaan kapal yang dianggotai 45 orang kru ini telah disambut Panglima Armada Timur bersama barisan kepimpinan pagi tadi,” katanya.
Nama BADIK melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.
Selain itu, BADIK diberikan bersempena nama salah sebuah kapal ronda Kelas KERIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.
Kapal tersebut telah diserahkan kepada Malaysia pada 14 September lalu di Qidong, China setelah menjalani ujian penerimaan di Pelabuhan dan laut. – airtimes.my