GENEVA, 2 Dis – Varian COVID-19, Omicron kini disahkan telah merebak ke 23 buah negara di seluruh dunia.
Ketua Pengarah Badan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom berkata, pihaknya menjangkakan varian tersebut akan terus merebak.
“Kita menjangkakan bilangan negara melaporkan penularan Omicron akan bertambah,
“WHO memandang serius perkembangan penularan varian ini dan kita berharap semua kerajaan di seluruh dunia perlu mengambil langkah berwaspada,” katanya semasa sidang media WHO di Geneva, hari ini.
Beliau menambah, tahap penularan dan kesan varian tersebut masih lagi belum diketahui.
Omicron sebelum ini dikenali sebagai varian B.1.1.529 mula dikesan di Afrika Selatan pada 24 November lalu. Varian ini kemudiannya diisytiharkan sebagai Varian yang membimbangkan (Varian of Concern, VOC) oleh WHO pada 26 November.
Di rantau Asia, kes jangkitan Omicron telah dikesan di Arab Saudi, Australia, Hong Kong, Jepun dan Israel. – airtimes.my