KUALA LUMPUR, 15 Dis – Persatuan veteran tentera bersama sebelas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah sekeras-kerasnya cubaan segelintir individu tertentu yang cuba menyebarkan ideologi komunis dalam kalangan masyarakat negara ini.
Sehubungan itu, mereka mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan yang terbabit dengan penyebaran ideologi komunis ini.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abd Rani Kulup Abdullah berkata banyak isu yang membangkitkan kemarahan veteran tentera seperti bendera Malaysia terbalik, Jalur Gemilang bintang lima bucu, mesyuarat bekas ahli PKM (Parti Komunis Malaya) dan abu mayat Chin Peng.
“65 tahun pengganas komunis dicari, tahun 1955 mereka lari dan tahun 1989 mereka letak senjata. Dalam fikiran rakyat, sudah tiada ideologi komunis,
“Dan sekarang mereka datang balik untuk menghantui pemikiran kita. Tolonglah KDN jangan main politik, buat kerja dan buat siasatan yang sepatutnya,” tegas Abd Rani kepada pemberita selepas Perhimpunan aman Bantah Komunis di hadapan perkarangan Sogo, hari ini.
Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizan Salleh menegaskan segala pengorbanan warga tentera tidak seharusnya disia-siakan.
“Jangan sesekali menyebarkan semula ideologi komunis. Kalau perkara seperti ini masih berlaku, saya berjanji akan menjadi ketua untuk menentang komunis di Malaysia,
“Saya merayu kepada kawan-kawan untuk kesian kepada veteran kita samaada polis ataupun tentera bagi mengenang jasa dan pengorbanan meraka serta jangan membenarkan ideologi komunis bertapak semula di Malaysia,
“Kalau ia terjadi, kita akan tentang habis-habiskan hingga titisan darah yang terakhir,” jelas Azizan yang juga dikenali sebagai Azizan Memali.
Manakala, Presiden Pertubuhan Pahlawan Patriotik Rakyat Malaysia (Pahlawan Patriotik) Husnal Az Hari Sanusi berkata persatuan veteran tidak akan berganjak dari pendirian mereka untuk menentang kemasukan ideologi komunis yang telah mengorbankan banyak nyawa.
“Ideologi komunis mesti dihumban dari pemikiran rakyat Malaysia dan dijauhkan dari rakyat Malaysia,
“Kami menentang segala bentuk ideologi keganasan dimana saja dan dalam bentuk apa saja. Kami (warga veteran) akan tetap bersama rakyat Malaysia untuk menentang komunis hingga ke titisan darah yang terakhir,” ujar Husnal.
Pesara tentera, Abdul Latif Abdullah turut menggesa Panglima Angkatan Tentera untuk menyekat kemasukkan ideologi komunis ini yang dilihat mampu menggugat keamanan dan keharmonian negara di masa kini.
“Dalam kehidupan rakyat yang aman damai, timbul pula kemasukan ideologi-ideologi komunis ini. Jadi kita nampak kebangkitan veteran di Malaysia yang telah sama-sama memperjuangkan bantahan mereka,
“Semua wakil-wakil NGO menyokong tindakan kami untuk menentang kemasukkan komunis ke negara ini. Kami menyeru pemimpin hari ini untuk ambil tindakan sewajarnya yang hanya mereka segelintir yang cuba menaikkan semangat dan ideologi ini. Perkara ini perlu dihentikan untuk keamanan negara kita,” jelas Abdul Latif.
Perhimpunan aman ini dibuat sebagai tanda bantahan veteran tentera terhadap cubaan kemasukan ideologi komunis yang semakin menular di negara. Seramai 80 orang para veteran dan NGO berhimpun di hadapan bangunan Sogo bagi membantah kemasukan ideologi komunis dan mendesak kerajaan agar mengambil tindakan segara.
Terdahulu, MJMM dan GRVATM yang mewakili sepuluh NGO telah membuat laporan polis bagi menggesa PDRM dan KDN untuk menyiasat dalang sebenar yang terlibat dalam perhimpunan yang diadakan di Kajang.